Pengikut

Rabu, 17 Jun 2009

ORGAN PEMBIAKAN LELAKI

ORGAN PEMBIAKAN LELAKI
Organ yang membina system pembiakan lelaki ialah organ berikut :


Organ Luar -
a. Zakar atau Pelir
b. Kerandut Buah Zakar
Organ Dalam -
a. Buah Zakar (Testis) dan salurnya
b. Salur sperma besar atau salur mani (Vas Deferens)
c. Pundi sperma dan salurnya
d. Kilang Prostat
e. Kilang Bal Ufetra atau kilang Cowper


Peringatan


Bagi wanita, system pembuangan kencing terasing daripada sistem pembiakan. Lubang salur kencing (uretra) wanita terbuka di ruang vestibula, terasing daripada pintu liang faraj. Tetapi, bagi lelaki, salur kencing (uretra) digunakan untuk dua tugas. Tugas yang pertama ialah penyaluran air kencing dan kedua pemancutan air mani.




ZAKAR atau PELIR


Zakar ialah organ kemaluan luar lelaki. Ianya terdiri daripada tisu yang mempunyai daya boleh tegak.Tisu ini tersusun secara bentuk silinder dan tiap-tiap bahagian daripadanya terlitup dengan penutup tisu fiber. Kulit tubuh mengelilingi tisu tegak itu.
Kesemuanya ada 3 bahagian tisu tegak dan dua daripada bahagian yang tersebut itu dinamakan korpus kavernosa dan satu lagi dinamakan korpus spongiosum. Korpus kavernosa terletak di bahagian permukaan atas zakar manakala korpus songiosum di bahagian permukaan bawahnya.

Korpus Spongiosum - Korpus spongiosum bermula sebagai pangkal atau umbi dan
bahagian ini terikat kepada tulang ari-ari melalui ligamen
gantung. Hujungnya mengembang lalu membentuk hujung atau
kepala zakar. Kulit tubuh yang longga mengelilingi hujung
zakar. Kulit ini dinamakan kulup zakar. Salur kencing (uretra)
menembusi korpus spongiosum dan liang keluarnya membuka
di hujung zakar.

Korpus Kaavernosa - Korpus kavernosa bermula sebagai krus yang terikat kepada
Tulang ari-ari. Ia mengelilingi bahagian atas dan sisi zakar dan
Tamat di leher zakar.

Kedua-dua jenis tisu tegak tisu ini menyerupai getah lampung dan mempunyai rongga kecil di dalamnya. Rangsang yang menggalakkan emosi kejantinaan, mengenbungkan salurnadi di dalam tisu tegak itu, dan oleh itu, darah dari salurnadi di situ mengalir keluar lalu masuk ke dalam rongga-rongga kecil (sebenarnya, rongga-rongga ini ialah ruang pembuluh). Darah yang memenuhi rongga-rongga kecil itu membesarkan saiz zakar dan menegakkanya. Air mani terpancut keluar melalui gerakan peristalsis yang kuat di salur sperma dan salur air kencing ( uretra).




Tugas Zakar


1. Salur kencing (uretra) di dalamnya menyalurkan air kencing
2. Zakar ialah organ persetubuhan lelaki yang memancutkan air mani serta sperma untuk tindakan pembiakan.

KERANDUT BUAH ZAKAR

Kerandut buah zakar ialah karung kulit yang mengandungi dua buah zakar. Dinding sekat mengasingkn kedua-duanya. Kulit tubuh di sini berkedut dan di dalamnya terdapat fiber otot yang dinamakan otot dartos. Otot ini boleh mengecutkan kulit kerandut atau mengembangkannya. Kedutan dan kembangan kerandut buah zakar adalah perlu untuk menentukan suhu yang tidak berbeza dengan berlebih-lebihan didalam ruangannya supaya penghasilan sel sperma dari buah zakar tidak terganggu. Pada masa cuaca sejuk, otot-otot dartos mengecutkan kerandut itu dan menarik buah zakar ke arah badan dan ini meninggikan suhu di dalamnya. Biasanya kerandut itu berada dalam keadaan longgar atau kembang.
Selaput serosa yang dikenali sebagai tunika vaginalis melapisi permukaan bawah kerandut buah zakar. Ia juga mengelilingi buah zakar. Susunan ini membentuk suatu ruang yang dikenali sebagai ruang tunika vaginalis.




BUAH ZAKAR


Buah zakar, walaupun dikelaskan sebagai organ pembiakan dalam, sebenarnya terletak di luar tubuh, iaitu di dalam karung kulit yang membentuk kerandut buah zakar. Dinding sekat kerandut buah zakar. Dinding sekat kerandut itu mengasingkan buah-buah zakar itu antara satu sama lain.
Tap-tiap buah zakar terdiri daripada copeng (lobula) kecil yang mengandungi binaan yang menghasilkan sel sperma. Kapsul yang mengelilingi buah zakar terbina daripada tisu fiber putih yang dinamakan tunika albuginea. Kapsul ini membina dinding sekat untuk membentuk beberapa copeng di dalam buah zakar. Copeng-copeng ini mengandungi salurhalus sperma. Dinding salurhalus sperma terbina daripada sel-sel epithelium yang menghasilkan sel sperma.



Hormon perangsang folikula (F.S.H) dari copeng depan kilang pituitary menggalakkan salurhalus sperma menghasilkan sel sperma. Terpadat diantara salurhalus sperma di dalam copeng buah zakar ialah sel-sel khas yang dinamakan sel celah (atau sel Leydig). Sel ini sebahagian daripada pada sistem endokrina dan ia menghasilkan hormone testosteron, apabila hormon perangsang sel celah (I.C.S.H.) dari copeng dengan pituitary menggalakkannya.
Salurhalus sperma bersatu di bahagian atas buah zakar untuk membentuk salur lengkar sperma (epididimis) yang kemudiannya berlanjut ke atas sebagai salur sperma besar atau salur mani (vas deferens).
Selaput serosa yang dikenali sebagai tunika vaginalis melitupi buah zakar dan melapisi permukaan bawah kerandut buah zakar. Ruangan di antara lapisan-lapisan ini dinamakan ruangan tunika vaginalis. Penyakit pasang-pasang (hidrosil) atau busung kerandut zakar ialah keadaan penakungan bendalir di dalam ruang tunika vaginalis.


Salurhalus Sperma


Dinding salur ini terbina daripada tisu epitelium. Sel-sel ini menghasilkan sel-sel sperma. Hormon perangsang folikula dari copeng depan kilang pituitari mempengaruhi penghasilan sel-sel sperma itu. Salurhalus sperma itu memuatkan sel-sel sperma kepada bahagian mediastinum buah zakar dan di sini salur itu membina suatu rangkaian salursperma. Dari sini, salur-salur itu berlanjut ke atas lalu membentuk salurlengkar sperma (epididimis).


Salurlengkar Sperma (epididimis)


Salur ini terletak di bahagian sisi luar buah zakar. Bentuknya berbelit. Ia boleh disifatkan sebagai suatu salur yang mempunyai bahagian kepala, badan dan ekor. Ekornya berlanjut ke atas sebagai salursperma besar. Salursperma besar ini naik ke atas, menerusi terusan inguina, dan akhirnya menemui salur kencing.
Tisu epitelium turus bersilia melapik lapisan dalam salursperma. Silia itu membantu dalam pergerakan sperma.


Sperma


Sel kejantinaan lelaki ialah sperma. Sel ini ada bahagian kepala, badan dan ekor. Ekornya membantu dalam pergerakannya. Pada tiap-tiap pemancutan bilangan sperma bagi tiap-tiap satu sentimeter padu ialah lebih-kurang 100juta sel. Sperma yang terpancut ke dalam liang faraj pada masa persetubuhan bergerak dengan kuasa sendiri, masuk ke dalam ruang rahim, dan akhirnya sampai ke dalam ruang salur fallop. Di sini persenyawaan berlaku.
Ekor sel sperma itu terputus pada masa persenyawaan. Air mani mengandungi sejenis enzim (yang dinamakan hialuronidase) yang boleh mencairkan sel yang membina karung ovum dan ia membantu sel sperma menembusi sel ovum itu. Sperma yang terpancut ke dalam liang faraj dipercayai hidup selama 24jam di liang itu. Walaupun berjuta-juta sperma terpancut pada satu-satu masa persetubuhan, hanya satu yang mempersenyawakan sel ovum.
Buah Zakar Pada Masa Peringkat Tian

Buah zakar sebenarnya terbina di dalam ruang abdomen pada masa lembaga itu masih dalam peringkat tian atau mudigah. Ia membesar di ruang ini tetapi pada masa bayi hampir hendak dilahirkan, kedua-dua buah zakar turun ke bawah di dinding belakang abdomen bayi itu lalu masuk ke dalam salur inguina dan sampai ke dalam kerandut buah zakar. Pada masa buah zakar turun ke bawah, ia menarik bersama-samanya selaput selom yang melapisi dinding abdomen. Biasanya selaput selom yang tertarik ke bawah dengan buah zakar itu tertutup dan terpisah daripada selaput selom abdomen. Bahagian selaput selom yang mengikuti buah zakar ke bawah membentuk lapisan tunika vaginalis yang meliputi buah zakar dan yang melapisi permukaan dalam kerandut buah zakar. Pada masa bayi itu diahirka, kedua-dua buah zakar telah sampai ke dalam kerandut. Kadang-kadang perjalanan ia ke bawah terhenti, dan bayi itu terlahir dengan satu atau kedua-dua buah zakarnya tersekat di ruang abdomen. Keadaan ini dinamakan “buah zakar tak turun” atau kriptoikidisma.
Jika selaput selom yang mengikut buah zakar tidak memisahkan ruang abdomen daripada ruang kerandut, ini bermakna ruang abdomen berhubung terus dengan ruang kerandut buah zakar. Organ dalam abdomen, misalnya usus, mungkin melunjur keluar ke dalam kerandut buah zakar. Keadaan ini dikenali sebagai mempasang inguina atau hernia inguina.


Korda Sperma


Apabila buah zakar turun dari ruang abdomen ke kerandut buah zakar, ia membawa bersama-samanya salur darah, saraf salur limfatika yang membekalkannya. Di salur inguina, salur sperma besar dan struktur yang tersebut di atas ini kesemuanya terlitup di dalam suatu salut yang memeliharanya. Salut ini dinamakan korda sperma.


Bekalan Darah Buah Zakar


Salurnadi buah zakar (atau salurnadi sperma) membekalkan buah zakar dengan darah beroksigen. Salurnadi ini ialah salurnadi berpasangan yang datang dari aorta abdomen.
Darah yang telah beredar di dalam buah zakar mengalir keluar melalui pembuluh kecil. Pembuluh ini membentuk suatu rangkaian yang dinamakan rangkaian pampiniforma di bahagian luar buah zakar. Dari rangkain ini, pembuluh buah zakar (atau pembuluh sperma) muncul. Pembuluh buah zakar naik ke atas melalui salur inguina lalu bersatu dengan pembuluh agung bawah (vena kava infra). (Pembuluh buah zakar kanan bersatu dengan pembuluh agung bawah manakala pembuluh buah zakar kiri bersatu dengan pembuluh buah pinggang kiri)

Tugas Buah Zakar

1. Salurhalus sperma menghasilkan sel sperma atau sel kejantinaan lelaki untuk menjalankan proses pembiakan.

2. Sel-sel celah (atau sel-sel Leydig) menghasilkan hormon kejantinaan lelaki, iaitu testosterone.Testosteron menjalankan tugas berikut:

a. Ia mengembangkan sifat kejantinaan kedua misalnya perubahan suara bila
mencapai peringkat baligh, pertumbuhan janggut, misaim dan bulu tubuh,
mengambil sifat binaan tubuh lelaki, perkembangan organ jantina lelaki.
b. Testosteron membantu dalam proses ungkaibina (metabolisma) protein. Ia
menggalakkan proses pembinaan (anabolisma) dari bahan-bahan protein, dan oleh
itu ia memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan perkembangan
otot jalur serta kekuatan otot itu. Kerana ia menjalankan tugas ini, testosteron
digelar hormon pembinaan atau hormon anabolisma.
c. Ia membantu dalam unkaibina (metrabolisma) cecair dan lektrolit tubuh.
Testosteron menggalakkan penyerapan natrium ke dalam salurhalus kencing buah
pinggang.
d. Ia menentang penghasilan hormon gonadotrofin dari copeng depan kilang pituitari
(iaitu hormon perangsang folikula dan hormon perangsang sel celah). Apabila
kadar hormon gonadotrofin di dalam darah bertambah, buah zakar tergalak lalu
menghasilkan hormon testosteron tetapi apabila kadar testosteron di dalam darah
meninggi, ia menahankan penghasilan hormone gonadotrofin.


SALURSPERMA BESAR


Salursperma besar ialah suatu tiub, lebih kurang 18 inci panjangnya. Ia bermula di ekor salurlengkar sperma, naik ke atas menerusi salur inguina (di dalam perlindungan korda sperma) dan sampai ke dalam ruang pelvis. Di ruang pelvis, salursperma lalu di permukaan atas pundi kencing (di bawah selaput selon) kemudian sampai ke belakang pundi kencing sebagai ampulanya. Salur dari bahagian ampula salursperma bersatu dengan salur dari pundi sperma. Kedua-dua salur pemancut ini membuka ke dalam salur kencing bahagian prostate. Salursperma membawa sperma dari buah zakar ke dalam salur kencing.
Suatu pembedahan boleh dilakukan di bahagian lipatan pembedahan boleh dilakukan di bahagian lipatan paha untuk mengikat salur sperma. Ini satu langkah perancang keluarga untuk memandulkan (steril) lelaki.


PUNDI SPERMA


Di belakang pundi kencing terdapat dua pundi kecil yang dinamakan pundi sperma. Pundi sperma ini terletak di hadapan usus hujung. Ruang di dalam pundi sperma menunjukkan beberapa kantung kecil.
Pundi sperma menghasilkan suatu bendalir pekat yang bercampur dalam air mani. Bendalir ini mengandungi zat makanan yang membantu ungkaibina sel sperma.
Salurnya bersatu dengan salursperma untuk membentuk salur pemancut yang membuka ke dalam salur kencing (uretra).


KILANG PROSTAT


Kilang prostat ialah suatu kilang kecil yang terletak di bawah dasar pundi kencing, iaitu di sekeliling salur kencing bahagian prostat. Usus hujung didapati di belakangnya. Kilang ini terdiri daripada tisu kilang, otot bebas dan tisu pengikat. Tisu fiber membentuk kapsulnya. Ia menghasilkan sejenis bendalir cair yang bersifat alkali. Bendalir ini sebahagian daripada komponen air mani. Ia mengalir ke dalam salur kencing melalui beberapa salur kecil. Bendalir prostat memelihara sel sperma dari tindakbalas asid di dalam salur kencing lelaki (disebabkan oleh air kencing yang berasid) dan juga, apabila sel-sel sperma itu berada di dalam faraj, bendalir prostat melindungi sel sperma dari tindakbalas asid di dalam faraj perempuan. Tindakbalas asid, jika kuat, memusnahkan sel sperma di dalam liang faraj.
Pada orang yang sudah meningkat umur 60 tahun atau lebih, kilang prostat itu kerap membesar dan manghalang pengeluaran air kencing dari salur kencing. Keadaan ini memerlukan pembedahan.




BAL URETRA ATAU KILANG COWPER

Bal uretra ataupun kilang Cowper ialah sepasang kilang yang terletak di bawah kilang prostat, di sini salur kencing bahagian selaput. Saiz tiap-tiap kilang Cowper ialah lebih kurang saiz kacang hujau. Bendalir yang terhasildi kilang ini mengalir ke dalam salur kencing dan bertindak sebagai bendalir prostat untuk menentang tindakbalas asid di dalam salur kencing (uretra).



AIR MANI

Air mani ialah cecair pekat yang terdiri daripada ramuan dari bendalir salursperma, bendalir prostat, bendalir pundi sperma dan bendalir kilang Cowper. Sel-sel sperma dari buah zakar terkandung di dalam bendalir ini. Sel-sel aperma serta ramuan bendalir tersebut dinamakan air mani.
Pembahagian ramuan bendalir yang membentuk air mani diagak seperti berikut:

Bendalir salursperma dan salurlengkar
sperma (epididimis) = 5%

Bendalir pundi sperma = 30%

Bendalir kilang prostat = 60%

Bendalir kilang Cowper = 5%

Jumlah = 100%

Petikan dari
ANATOMI DAN FISIOLOGI
Dewan Bahasa dan Pustaka
2001

1 ulasan: